Tips Untuk Ibu Yang Bakal Lahirkan Bayi

Buat semua ibu yang bakal melahirkan bayi, pastinya akan membuat persiapan rapi bagi menyambut kelahiran bayi comel tersebut. Dari persiapan kelengkapan bayi sehinggalah ke peringkat si ibu.

Begitu juga dengan saya. Tidak lama lagi saya akan melahirkan bayi kedua yang dijangka lahir pada bulan Disember nanti. Insya-Allah…

Teruja memanglah teruja.

Namun perlu diingatkan selepas melahirkan bayi, perkara yang paling penting yang perlu di utamakan si ibu adalah sepanjang tempoh berpantang.

Tempoh berpantang ini sebenarnya adalah tempoh bagi si ibu memulihkan kembali tubuh badan mereka dari segi kesihatan.

Kiranya dalam tempoh berpantang itu adalah tempoh untuk si ibu berehat sepenuhnya selepas kita menggunakan tenaga yang banyak ketika bersalin.

Amalan berpantang ‘wajib’ seperti bertungku, bengkung, mandian herba dan memakai pilis di dahi selama 44 hari tempoh berpantang diyakini dapat mampu membantu si ibu mendapatkan semula bentuk badan, tahap kesihatan dan kecergasan serta rupa paras yang menawan.
Jika tidak di amalkan pula, akan mendatangkan kesan mudarat pada diri si ibu.

Dan pastinya saya akan melalui tempoh berpantang itu sekali lagi untuk kelahiran kali ini. Moga semuanya dipermudahkan nanti urusan berpantang saya.

Bagaimanapun, di sini, saya berkongsi antara tips yang boleh dijadikan panduan kepada para si ibu agar kita dapat bersama-sama memperolehi ilmu dan manfaat.

Tips bagi si ibu

1) Jaga emosi

Jangan terlalu memandang remeh dan ambil mudah berkaitan emosi si ibu selepas bersalin kerana si ibu amat memerlukan sistem sokongan yang kuat ketika berpantang agar tidak mengalami masalah emosi.

Bagi yang mampu, bolehlah membayar upah kepada confinement lady (wanita yang menjaga ibu berpantang) supaya dapat membantu si ibu agar tidak mengalami tekanan.

2) Elak fikiran negatif

Si ibu harus mengikis persepsi negatif yang mengatakan proses berpantang itu merumitkan. Ramai orang rasa berpantang ini susah sebab mungkin mereka tidak faham kenapa perlu berpantang atau mengapa ada banyak pantang larang.

Kalau kita betul nak berpantang cara Melayu, si ibu kena faham ilmu di sebaliknya.

3) Makan makanan sihat

Jangan sesekali abaikan waktu makan. Si ibu perlu makan makanan berkhasiat dan minum banyak air suam.

4) Jangan abaikan bertungku dan berurut

Pastikan si ibu berpantang dengan betul. Jangan abaikan bertungku dan berurut kerana urutan mampu meredakan ketegangan dan tekanan.

5) Banyakkan berehat

Cari waktu rehat ketika tempoh berpantang sebaik-baiknya ketika bayi sedang tidur. Ini kerana rehat adalah tempoh pemulihan yang sangat penting.

Sekiranya berpantang sendiri abaikan semua kerja rumah sehingga si ibu betul-betul sihat dan bertenaga untuk melakukannya.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu ibu-ibu diluar sana berpantang dengan baik. Sila kongsikan bersama rakan ibu yang lain jika ianya bermanfaat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *