Selain Asid Folik, Zat besi juga penting dalam pemakanan ibu mengandung. Seperti yang kita sedia maklum zat besi amat penting bagi membantu sel-sel darah merah dalam badan manusia dan mencegah anemia. Bagi wanita mengandung, zat besi lebih banyak diperlukan kerana jumlah hemoglobin meningkat ketika itu terutamanya pada dua trimester terakhir. Selain daripada sumber makanan semula jadi seperti daging merah, hati, limpa, ikan bilis, tauhu dan tempe, wanita boleh mendapatkan bahan ini melalui vitamin tambahan.
Pemakanan yang seterusnya harusnya mempunyai kandungan Kalsium. Kalsium boleh didapati daripada sumber susu, hasil tenusu, marjerin, keju. Kalsium tambahan perlu diambil oleh bakal ibu untuk membantu perkembangan gigi dan tulang bayi. Selain itu, kalsium dapat mengurangkan gejala kebas-kebas atau kekejangan pada ibu sewaktu tempoh kemengandungan terutama pada trimester ketiga. Berdasarkan kajian tekanan darah tinggi, kalsium berperanan mengurangkan kecenderungan seseorang ibu daripada mendapat penyakit darah tinggi sewaktu mengandung.
Pada masa kini kepentingan DHA sering diperkatakan oleh pakar-pakar perubatan dan pemakanan. Menurut kajian yang dilakukan, DHA dikatakan memainkan peranan yang besar terhadap perkembangan minda bayi. DHA berfungsi untuk memantapkan pertumbuhan penglihatan dan otak bayi sejak dalam kandungan lagi. Sumber vitamin ini boleh diberikan menerusi tiga cara iaitu mengambil vitamin tambahan sewaktu mengandung, sewaktu menyusu susu badan dan susu formula bayi yang telah diperkayakan dengan DHA yang terdapat dalam bentuk Omega 3, 6 dan 9.